JALANGERIMBUN—HAFIZ HAMZAH

Memperkenalkan Jalangerimbun, sebuah fragmen fotografi Hafiz Hamzah dalam rentang waktu 10 tahun (2008-2018). Ini penerbitan ketiga dan terakhir yang saya selesaikan Julai lalu (selain buku Psyche Oh! A Go Go dan Svara #3), tetapi tak pernah dihebahkan atau ditunjukkan secara terbuka kecuali kepada lingkungan kecil teman-teman.

Ia bermula dari kegagalan saya untuk menyusun sebuah penerbitan lain; ketika cuba-cuba merampungkan kumpulan sajak ketiga sekitar tahun 2018 dulu, saya diserang rasa jemu dan kebas terhadap puisi. Mujur masih terus saja menulis, tetapi untuk menumpukan perhatian dan memikirkan tentang sajak-sajak yang ingin dibukukan, itu satu proses yang lain. Lelah, dan membawa sekali rasa gelisah yang melemaskan.

Bahkan saya tiba di satu titik untuk tak ingin lagi—buat sementara waktu—memikirkan tentang sajak-sajak dan kumpulan puisi tersebut. Sedangkan, kononnya ada sasaran untuk menerbitkan kumpulan puisi baru, selang dua tahun selepas Gertak Sanggul. Senggang dua tahun untuk menerbitkan satu lagi kumpulan sajak itu bunyinya agak masuk akal.

Tetapi hal sebaliknya yang belaku; selain sekadar membaca-baca kumpulan puisi orang lain—yang agaknya menambah rasa jemu dan tepu terhadap puisi—saya membiarkan semua itu terabai secara sedar. Tetapi gesaan dalam hati untuk “mengeluarkan” sesuatu tetap saja tak berdaya ditenteramkan. Ketika menuju bulan-bulan penghujung 2018 itulah saya kembali kepada “kekasih” lama—fotografi.

Saya luangkan masa untuk kembali meneliti gambar-gambar dari filem analog yang pernah diambil sepanjang tempoh 10 tahun sebelum itu. Sebahagian besarnya sudah diimbas dan disimpan dalam bentuk digital dalam cakera keras. Untuk kerja-kerja fotografi, oleh kerana saya tak pernah bergerak atau memulakannya dengan satu pendekatan projek/subjek yang jelas, maka saya mencari corak-corak yang terkambus di antara semua gambar yang ada.

Dan ternyata, memang ada yang berkongsi ragam corak yang sama. Pertanyaan-pertanyaan kemudiannya muncul ketika saya cuba merenung hal-hal latar di sebalik gambar-gambar berkenaan; kenapa dan untuk apa saya merakam semua ini? Kenapa saya memilih untuk melihat begini? Maka, Jalangerimbun hanyalah satu fragmen yang terbit dari fasa tersebut, daripada beberapa lagi fragmen lain yang sempat juga dikenal pasti.

Lebih 200 gambar dipilih pada awalnya untuk membangunkan cerita dalam Jalangerimbun. Gambar-gambar dalam saiz 4R dicetak, di susun atas lantai; saban minggu saya mengatur-atur kedudukannya dalam usaha untuk mencari satu jalinan yang masuk akal dan ada getar yang sama seperti yang dibayangkan dalam kepala. Ia kemudiannya dipendekkan kepada hanya sekitar 70 keping gambar sahaja untuk penerbitan. Semua gambar berkenaan dirakam di Malaysia dari tahun 2008 hingga 2018.

Tak lama selepas itu, saya mula berkerja dengan Belut untuk menyusun reka letak buku ini. Antara yang kami lakukan ialah melihat dan merombak susan imej dan visual yang ada bagi mencari satu titik yang dirasakan benar-benar dapat mewakili apa yang terbuku di dalam hati dan kepala sendiri tentang fotografi, dengan kaedah dan cara pemahaman yang saya gunakan sendiri. Dari situ, tiga versi draf mock-up sempat dicetak untuk disemak-ulang, yang kemudiannya saya usung bersama entah ke mana-mana untuk mencari rohnya ketika itu. Sebelum kemudiannya saya mengambil keputusan untuk senyapkan semua kebisingan itu dari dalam kepala.

Agaknya memang lumrah untuk Obscura, kerja-kerja yang sudah hampir siap untuk diterbitkan akan diperam lagi. Tak jelas sebab apa, tetapi rasanya sangat natural dan alami. Mungkin saya hanya ingin menikmati momen seperti itu; paling biasa, fasa dorman seperti itu akan menelan masa hampir dua tahun. 

Tak pasti semua ini untuk apa, mungkin membiarkan semua kacau-bilau itu mendap sekejap—sebelum dikocak semula dan naik ke atas lagi. Panggilan untuk menyelesaikan penerbitan ini datang pada Jun 2020. Saya menyambung kerja reka letaknya bersama Engku Iman, terutama untuk merubah tataletak bahagian esei pendek dan teks lainnya yang ada di dalam buku ini.   

Hasilnya ialah Jalangerimbun seperti yang sudah mula beredar sekarang. Secara peribadi, saya melihat semua ini sebagai puisi-puisi gelap yang tak sempat saya tuliskan, dikait dan disampaikan melalui Jalangerimbun dalam bentuk visual; ia cuma dicetak dalam jumlah terhad sahaja.

84 salinan sahaja yang dicetak untuk edisi ini, dengan nombor siri masing-masing. Keseluruhannya melibatkan 100 mukasurat, termasuk hardcover dengan cara jilid terbuka di tepi. 

65 salinan terawal akan disertakan sekali dengan sampul kain yang dijahit dengan penuh kaseh sayang oleh Mak Cik Normah Jalan Gombak.

38 salinan yang dibeli terus daripada kami pula akan disertakan dengan nota pendek atau draf sajak tulisan tangan, cerminan atau diilhamkan semuanya daripada proses dan juga imej-imej yang ada di dalam buku ini.

Jalangerimbun kini sudah siap dicetak dan sedia untuk beredar. Harganya RM100 setiap satu. Kepada yang berminat untuk mendapatkannya, boleh hubungi kami melalui emel obscura.malaysia@gmail.com atau di talian 013-4285070. —HH

JALANGERIMBUN—HAFIZ HAMZAH